Menangis Dalam Solat Dibenarkan Atau Sebaliknya

Menangis Dalam Solat Dibenarkan Atau Sebaliknya

Selamat datang ke laman My Sumber Maya. My Sumber Maya akan berkongsi pelbagai kisah tauladan, motivasi, islamik serta berkaitan teknologi yang mana akan memberi pengetahuan serta kesan mendalam buat para pembaca. Diharapkan semoga perkongsian ini dapat memberi sedikit sebanyak ilmu pengetahuan buat anda.

Pernah terdengar mengenai kisah para sahabat saat diperdengarkan alunan ayat suci, mereka akan mengalirkan air mata kerana terlalu menghayati maksud di sebaliknya.

Tambah lagi apabila kalam tersebut dibacakan sewaktu solat yang diimamkan Baginda SAW. Berbagai perasaan yang wujud dan bercampur baur tatkala diperdengarkan alunan tersebut.

“Aku pernah melihat Rasulullah SAW solat, ketika itu Baginda menangis. Rintihan air mata Baginda telah jatuh ke dadanya dengan banyaknya.” (Hadis Riwayat Abu Daud, no. 904)

Seringkali juga kita ditularkan dengan video imam yang menangis membacakan ayat suci Al-Quran dan makmum yang turut teresak-esak.

Walau bagaimanapun, mengeluarkan bunyi yang kuat sehingga menganggu bacaan ketika solat boleh menyebabkan batalnya solat.

Jadi, adakah dibolehkan menangis di dalam solat kerana terlalu menghayati ayat suci Al-Quran atau disebabkan terkenangkan dosa-dosa yang lalu?

Menurut jumhur ulama’ seperti Syeikh Muhammad bin Salih Al-‘Utsaimin, beliau berkata –

“Menangis di dalam solat kerana takut pada Allah dan teringatkan akan hari akhirat, menghayati alunan al-Quran atau takut dengan azab yang digambarkan Allah melaluinya (Al-Quran), maka tidak akan batal solatnya – dengan syarat ia merupakan tangisan yang tidak berbunyi kuat atau sehingga menganggu bacaan solat.” (Fatawa Nur ‘ala Ad-Darb, 9:141)

Menurut Mazhab Syafi’e, jika tangisan itu tidak dapat dikawal sehingga menyebabkan berlaku pergerakan yang banyak dan mengganggu bacaan solat itu, maka terbatal solatnya.

Menangis di dalam solat merupakan amalan orang-orang soleh dan umat terdahulu. Malah, menerusi surah Al-Anfal, ayat 2, Allah berfirman bermaksud:

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatNya) gementarlah hati-hati mereka.”

Oleh itu, tidak batal solat jika menangis kerana menghayati alunan Al-quran atau takut akan azab seksaNya, namun jangan sehingga mengganggu bacaan solat atau menyebabkan pergerakan yang banyak.

Wallahu a’alam.

Rujukan:
Rumaysho.com

Kami amat mengalu alukan maklum balas dari anda sekiranya terdapat mana-mana pendapat yang boleh dikongsikan bersama. Semoga My Sumber Maya mampu berkongsi lebih banyak info yang berguna buat para pembaca. Sekian terima kasih

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*