SEORANG pekerja kilang di Alor Gajah, Melaka, maut selepas lebih tiga jam bertarung nyawa terbabit dalam kemalangan di kilometer 32, Jalan Seremban-Tampin, dekat Pekan Chengkau dekat Rembau, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.55 pagi itu, mangsa, Muhammad Hasnul Izani Md Rapi, 31, disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Rembau pukul 10.45 pagi itu.
Menurut Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Anuar Bakri Abdul Salam, kemalangan berkenaan membabitkan dua buah kenderaan iaitu motosikal yang ditunggani mangsa jenis Yamaha LC dan kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Honda CRV.
“Berdasarkan siasatan awal, pemandu iaitu seorang wanita berusia lingkungan 50an dari Sawah Raja menghala ke Tampin.
“Semasa sedang membelok keluar ke kanan, tiba-tiba datang mangsa yang bergerak lurus dan terus langgar tayar hadapan sebelah kanan lalu hilang kawalan dan tercampak diatas laluan arah bertentangan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Anuar berkata, akibat kemalangan berkenaan, mangsa yang cedera dikejarkan ke Hospital Rembau bagi rawatan lanjut.
Bagaimanapun menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia di Zon Merah, Hospital Rembau.
“Siasatan lanjut masih diteruskan. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Sementara itu, bapa mangsa Md Rapi Atan, 58, berkata anaknya ada mengatakan mahu membeli rumah terlebih dahulu sebelum berkahwin namun niatnya itu tidak kesampaian apabila dia ‘dijemput’ Ilahi.
“Arwah ada menyatakan hasrat mahu membeli rumah sebelum berkahwin namun niatnya itu tidak kesampaian apabila dia ‘dijemput’ Ilahi,” katanya.
Leave a Reply