Niat murni berakhir tr4gedi, pemuda lem4s ketika cuba selamatkan dua beradik

Niat murni seorang pemuda menyelamatkan dua beradik lemas ketika mandi-manda di Pantai Kemayang, Tawang di sini pada petang Khamis berakhir tragedi yang meragut nyawanya sendiri.

Mangsa, Mohamad Syazwan Mazlan, 25, dari Kampung Gertak Kechupu, Kubang Kerian maut dalam kejadian jam 6 petang.

Dua beradik berkenaan, Ahmad Wafiy Naufal Ahmad Azfar, 6, dan Dhia Aleesya Qaisara, 4, pula selamat dan dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM).

Pemangku Ketua Polis Daerah Bachok, Asisten Suprintendan Mohd Yusrizal Mohd Ghazali berkata, sebelum kejadian, keluarga mangsa dari Kampung Bukit Marak, Kota Bharu datang ke Pantai Kemayan, Bachok untuk berkelah.

“Semasa kedua-dua mangsa mandi sambil dipantau oleh ibu bapa mereka, datang ombak besar dan menarik kedua-duanya ke tengah laut.

“Keluarga kedua-dua mangsa meminta pertolongan dan pemuda itu cuba menyelamatkan mereka, namun dia turut dihanyutkan ombak,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Beliau berkata, ketiga-tiga mangsa diselamatkan oleh orang awam bagaimanapun Penolong Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Tawang yang tiba di lokasi mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia.

“Mayat dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk bedah siasat.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Sumber: sinar

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*