RM5.6 juta bayaran saman trafik berjaya dikutip – Bukit Aman

Kira-kira RM5.6 juta bayaran saman trafik berjaya dikutip pada hari pertama kempen pembayaran saman secara dalam talian dengan pemberian diskaun dilaksanakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Azisman Alias berkata kempen selama lima hari bermula semalam itu mendapat sambutan menggalakkan kerana orang ramai akan menikmati diskaun saman sehingga 50 peratus untuk saman-saman tertentu.

Katanya, semua saman layak mendapat diskaun kecuali

  • saman kemalangan tahun 2019 dan 2020
  • saman dalam perbicaraan
  • saman Op Selamat 2019 dan 2020
  • saman berstatus non compaundable
  • saman berstatus mahkamah
  • saman berstatus waran tangkap tahun 2019 serta 2020.

Orang ramai yang mempunyai tunggakan saman diminta mengambil peluang untuk membuat pembayaran saman secara dalam talian di rumah.

“Apabila kempen ini tamat, orang ramai perlu membayar saman mengikut kadar biasa yang telah ditetapkan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata kaunter bayaran saman di Ibu Pejabat Polis seluruh negara akan ditutup sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Dalam tempoh pelaksanaan PKP, semua urusan pembayaran saman hanya boleh dibuat secara dalam talian,” katanya.

Pada Isnin, Azisman berkata pelaksanaan kempen itu merupakan langkah JSPT bagi menggalakkan orang ramai mematuhi PKP yang dilaksanakan untuk mengekang penularan wabak COVID-19.

Pembayaran saman boleh dilakukan menerusi portal www.myeg.com.my dan www.rilek.com.my.

Sumber: BERNAMA

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*