Mudah Dan Senang Tanam Pokok Kesum Dalam Air Siap Boleh Buat Lanskap Rumah

Antara tanaman yang biasa ditanam di kediaman adalah pokok kesum. Selain tanam dalam tanah atau pasu, kesum juga boleh ditanam melalui kaedah rendaman air saja.

Cara ini memang lagi mudah, malah pokok kesum akan subur merimbun jika dijaga dengan betul. Disebabkan mudah, ramai yang cuba tanam melalui kaedah ini.

Tapi masalah yang kerap dihadapi bila tanam dalam air adalah lama kelamaan daunnya mula menguning dan gugur hingga akhirnya layu dan mati. Sudahnya kita pun kecewa.

Tip tanam pokok kesum dalam air, guna botol/ balang lutsinar

Bagi yang tanam kesum guna kaedah rendaman air mungkin boleh praktikkan tip dan cara yang dikongsi oleh Nur Izzah Mahmud.

Dia menanam pokok kesum dalam balang dan botol lutsinar. Kalau dilihat hasilnya memang memberangsangkan. Daun elok subur, akar pun meriah.

Berikut adalah beberapa cara penanaman dan tip yang dikongsi

1. Pilih dahan pokok kesum yang segar dari pokok induk dan kerat.

2. Sediakan botol/balang lutsinar sama ada plastik atau kaca.

3. Buang daun-daun di bahagian bawah dan rendam pokok kesum dalam botol berisi air. Guna air paip saja, paras air boleh rujuk gambar di bawah.

4. Letak pokok kesum yang direndam di tempat yang mudah dapat cahaya tapi bukan cahaya matahari terus.

5. Saya guna balang lutsinar ini supaya mudah nampak kalau ada jentik-jentik. Tapi setakat ini belum ada lagi.

6. Tambah air jika nampak dah surut. Tak perlu tukar air hari-hari. Setakat 2-3 minggu air masih elok jernih. Kalau mula nampak hijau cuci balang atau bekas saja.

7. Dalam tempoh sebulan selepas tanam, pokok kesum ini tak perlu diletakkan baja lagi. Selepas tempoh sebulan bolehlah letak baja AB atau NPK 15.

Tapi jika berhasrat nak pindahkan pokok kesum ini ke tanah tak perlu letak baja, boleh terus tanam dalam pasu atau ke tanah. Boleh guna media tanah campuran kelapa sawit dan cocopeat.

Inilah hasil pokok kesum yang direndam dan dipindahkan ke pasu selepas banyak akar.

Tip supaya pokok kesum kekal merimbun

Pokok kena selalu kerat atau trim. Tinggalkan sejengkal dari pasu/botol saja. Bila pokok kesum sudah tinggi, dan keluar bunga itu tanda pokok sudah tua. Jika tak dikerat atau trim, ia tidak bercambah, kuning dan lama kelamaan pokok layu dan mati.

Selamat mencuba!

Sumber: Nur Izzah Mahmud














Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*