LAZIMNYA apabila berlaku kematian, anak-anak si mati akan dijaga oleh balu arwah. Ya, merekalah individu paling sesuai dan layak kerana status ibu kandung kepada anak-anak tersebut.
Bagi yang sudah tiada lagi ibu, waris seperti datuk, nenek atau pak cik dan mak cik akan mengambil alih tanggungjawab berkenaan.
Begitu pun, dalam perihal memberi nafkah, masih ramai orang menganggap bahawa nafkah anak yatim adalah tanggungjawab utama si ibu selepas kematian suaminya jika wanita itu masih hidup.
Mahu atau tidak, wanita tadi terpaksa bekerja keras untuk menyara anak-anak yang ditinggalkan arwah suaminya. Sementelah, ada sebahagian waris daripada keluarga arwah ada yang acuh tidak acuh dalam perkara itu.
Walaupun tidak semua kes begitu, namun itulah realiti yang berlaku dalam kalangan masyarakat pada hari ini.
Di sisi agama, siapakah yang sebenarnya perlu memberikan nafkah kepada anak yatim ini?
Menurut Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari Universiti Teknologi Mara, Ustazah Siti Fatahiyah Mahamood, Islam menggariskan bahawa waris keluarga yang paling terdekat dengan anak yatim kematian ayah merupakan orang yang paling bertanggungjawab untuk menjaga kebajikannya.
Jelas beliau, waris keluarga yang dimaksudkan adalah lebih diutamakan kepada ahli keluarga lelaki sebelah arwah ayahnya iaitu datuknya ataupun ayah kepada datuknya ataupun bapa saudaranya.
“Sekiranya tiada, maka selepas itu barulah akan dipertanggungjawabkan kepada ibunya dan ahli keluarga di sebelah ibunya. “Menurut perspektif fiqh, ia bermula dengan organisasi keluarga daripada ahli waris (ashab al-furud dan ‘asabah) dan kerabat pewaris (dhawi al-arham) terlebih dahulu.
“Jika tiada ahli keluarga yang mampu, maka tanggungjawab tersebut berpindah ke baitulmal dan ahli masyarakat yang prihatin,” katanya menerusi e-mel kepada Sinar Islam baru-baru ini.
Jelas ahli akademik itu, terselit hikmah yang besar di sebalik tanggungjawab nafkah kepada ahli keluarga yang lebih dekat.
“Antaranya mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan yang mungkin boleh terlerai jika si ibu membawa anak yatim tersebut menyambung kehidupan mereka dengan haluan sendiri selepas kehilangan suaminya.
“Kebiasaan masyarakat apabila berlaku kematian si ayah, mereka akan kembali semula mencari ahli waris untuk menjadi wali dalam perkahwinan nanti. Sedangkan tanggungjawab waris adalah lebih daripada hanya menjadi wali perkahwinan sahaja,” jelasnya.
Andai waris diberi tanggungjawab untuk menjaga harta anak yatim, Ustazah Siti Fatahiyah mengingatkan agar melakukan proses dokumentasi. Ia bagi mengelak timbulnya masalah pada kemudian hari, selain memastikan anak yatim tersebut tidak diabaikan dan dizalimi hak mereka.
“Namun, sekiranya ahli waris yang menguruskan harta tersebut juga agak kurang kemampuan kewangannya, maka dia dibenarkan menggunakan harta tersebut mengikut yang perlu sahaja,” jelas beliau.
Seperkara, beliau turut mengingatkan bahawa kematian ayah bukanlah menjadi asbab untuk ahli keluarga mengabaikan anak saudara mereka.
“Santunilah anak yatim dan lindungilah mereka. Seperti anak-anak yang lain, mereka memerlukan perhatian, pendidikan dan kasih sayang daripada ibu dan ayah agar dapat mereka membesar dengan sempurna.
“Janganlah dibiarkan jiwa mereka memberontak dalam diam dek kerana kehilangan ayah ataupun kerana mendapat pengganti baru yang mengambil alih tempat arwah ayahnya. Fahamilah jiwa dan perasaan anak-anak yang amat memerlukan perhatian dan kasih sayang sejak kecil,” nasihat beliau.
Sumber: wowberita
Leave a Reply