Tiga pelajar cari akses internet kelas ‘0nline’ cedera jatuh jambatan

RANAU – Tiga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ulu Sugut cedera apabila jambatan gantung dilalui ketika mencari jaringan internet runtuh secara tiba-tiba dalam kejadian di Kampung Gusi malam Isnin lalu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9 malam itu, tiga pelajar berkenaan berada di kawasan terbabit bagi mendapatkan sambungan internet untuk mengikuti kelas dalam talian.

Difahamkan, jaringan internet di Kampung Gusi memang sukar diperolehi namun ia sedikit baik pada waktu malam di kawasan jambatan gantung itu.

Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan Sammy Newton ketika dihubungi mengesahkan kejadian terbabit.

“Kenyataan tular di laman sosial Facebook dan aplikasi WhatsApp itu memang benar. Kejadian membabitkan lapan remaja termasuklah tiga pelajar SMK Ulu Sugut.

“Jambatan gantung difahamkan runtuh secara tiba-tiba ketika semua mangsa sedang mendapatkan sambungan internet di kawasan itu,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai kejadian, Sammy berkata, dua pelajar mengalami kecederaan patah paha dan betis manakala seorang lagi mengalami kecederaan pada bahagian tulang belakang.

Jambatan gantung itu difahamkan memiliki ketinggian kira-kira 18 meter dari aras sungai dan menjadi satu-satunya kawasan yang mempunyai isyarat sambungan internet.

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kundasang, Datuk Dr. Joachim Gunsalam berkata, semua pelajar yang cedera sudah dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) di Kota Kinabalu.

“Saya difahamkan ketiga-tiga pelajar itu cuba mengakses internet di jambatan gantung berkenaan sebelum ia runtuh.

“Kita akan segera pergi ke kampung itu untuk menilai keadaan dan mendapatkan peruntukan daripada Kerajaan Pusat untuk membaiki jambatan yang runtuh,” katanya.

Sumber: kosmo














Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*