Seorang suri rumah maut terkena besi penghadang jalan selepas kereta yang dipandu anak perempuannya terbabas di Kilometer 30.2, Jalan Kota Bharu – Kuala Krai, dekat Pangkal Gong di sini.
Dalam kejadian pada pukul 6.45 petang itu, mangsa, Wan Salwiah Wan Mahmood, 47, meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah pada beberapa anggota badan.
Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kelantan, Superitendan Mohd. Zamri Mohd. Rowi berkata, siasatan mendapati, mangsa dan anak perempuannya, Amirah Zahirah Mohd. Zin, 21, yang memandu kereta jenis Perodua Alza sedang dalam perjalanan dari Kuala Krai ke Ketereh.
Katanya, setibanya di lokasi kejadian, anak mangsa dipercayai gagal mengawal kereta itu sebelum merempuh besi penghadang jalan di bahagian kiri jalan.
“Besi penghadang jalan sepanjang lima meter itu tertusuk ke bahagian penumpang hadapan kereta sehingga menyebabkan Wan Salwiah mengalami kecederaan.
“Anak mangsa bagaimanapun hanya mengalami kecederaan ringan,” katanya ketika dihubungi Kosmo!
Menurut Mohd. Zamri, mayat mangsa dibawa ke Hospital Machang untuk proses bedah siasat.
Ujarnya, jenazah mangsa telah dituntut oleh keluarganya yang tinggal di Kampung Jenereh Bongkok, Pulai Chondong di sini untuk urusan pengebumian.
Sumber: K! ONLINE
Leave a Reply