Ikmal Hakimi, 21, yang dilaporkan hilang sejak jam 7 malam pada hari Sabtu oleh ayahnya Mahasan Mohd Daud, 50, ditemui lemas berhampiran jalan pintas Kampung Melayu Nyior ke Kampung Bentong di sini.
Penemuan mayat kira-kira 50 meter dari kereta Axia yang terjatuh ke dalam air di jalan pintas itu pada jam 12.20 tengah hari tadi menamatkan pencarian yang mula digerakkan jam 9.20 pagi bersama penduduk kampung, polis dan dan bomba.
Ikmal Hakimi dikatakan keluar rumah jam 6 petang Sabtu lalu dengan melalui jalan pintas Kampung Melayu Nyior ke Kampung Bentong dengan menaiki kereta Perodua Axia.
Mahassan yang reda dengan kejadian menimpa anaknya berkata, pada hari kejadian, anak sulungnya itu tinggal di rumah manakala dia dan ahli keluarga lain berada di Kelantan. Ikmal Hakimi tidak mahu ikut serta kerana mahu mengikuti kuliahnya secara dalam talian.
“Cuma yang saya agak ralat adalah selama ini setiap kali dia keluar rumah dia akan memberi tahu saya atau ahli keluarga lain namun kali ini dia tidak meninggal sebarang pesan sebelum keluar.
“Saya menerima laporan kehilangan Ikmal daripada kawan-kawannya awal pagi semalam sebelum bergegas balik ke Kluang.
“Sebaik sampai rumah, satu gerakan mencari dan menyelamat dilakukan bersama penduduk kampung dan kawan-kawan Ikmal malam tadi hingga awal pagi ini namun gagal menemuinya,” katanya yang membuat laporan polis jam 5.30 pagi.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Low Hang Seng, berkata mengikut laporan yang diterima, mangsa dikatakan mahu ke rumah rakannya di kampung Bentong menggunakan jalan dari Kampung Nyior kerana jalan lain ke kampung berkenaan sudah terputus hubungan pada hari kejadian.
Selepas mendapat pengesahan rakan mangsa bahawa Ikmal Hakimi tidak ke rumahnya, ayah mangsa membuat laporan pagi tadi dan satu gerakkan mencari dan menyelamat dilakukan bermula jam 9.20 pagi.
“Pasukan penyelamat menemui kereta mangsa di tepi jalan yang dikatakan tempat yang dilalui manakala mayat mangsa ditemui kira-kira 50 meter daripada kenderaan berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mayat Ikmal dibawa ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom Kluang untuk proses bedah siasat.
Leave a Reply