Peluk Islam Umur 84 Tahun, Opah Gigih Belajar Ilmu Agama Di Usia Emas

Hidayah milik Allah. Allah memberi hidayah kepada sesiapa sahaja yang dikehendakinya, tidak mengira bangsa atau warna kulit, tua atau muda.

Begitulah seperti kisah seorang warga emas yang dikenali sebagai Maria, atau nama Islamnya Mariam, yang menetap di United Kingdom ini. Beliau baru memeluk Islam sewaktu berusia 84 tahun, iaitu pada tahun lepas.

Difahamkan lagi, beliau merupakan seorang anak yatim sejak kecil.

Kisah seorang warga emas bernama Mariam

Kisahnya bermula apabila pada suatu hari di musim sejuk, warga emas bernama ‘Maria’ itu bertandang ke sebuah masjid Redbridge Islamic Centre (RIC) yang terletak di Ilford, United Kingdom.

Setibanya di masjid itu, beliau mula berasa risau jika semua orang yang berada di dalam masjid itu memberi reaksi skeptikal terhadap dirinya memandangkan dia bukan seorang Muslim.

Apatah lagi selepas dimomokkan dengan pelbagai khabar angin mengenai Islam daripada masyarakat sekeliling.

Bagaimanapun, disebabkan perasaan ingin tahu yang kuat terhadap Islam, beliau menggagahkan diri menjejakkan kaki ke dalam masjid tersebut.

Dalam keadaan cuaca dingin sewaktu musim sejuk itu, Maria berdiri menahan kesejukan di hadapan pintu masjid buat beberapa ketika sebelum memberanikan diri bertanya kepada salah seorang wanita yang berada di perkarangan masjid tersebut.

Saya nak jadi ‘muslim’

Selepas dijemput masuk, salah seorang jemaah masjid menerangkan kepadanya tentang apa yang sedang mereka lakukan. Kebetulan, hari itu adalah hari Jumaat jadi jemaah lelaki sedang menunaikan solat Jumaat.

Justeru itu, dia diterangkan tentang ibadah sunnah tersebut serta perihal arah kiblat umat Islam berpaksikan Kaabah. Setelah mendengar segala penjelasan dengan tekun dan tenang, Maria terbuka hati untuk bertanya:

“Bagaimana caranya untuk saya menjadi seorang Muslim? Saya nak jadi Muslim,” katanya tanpa ragu.

Tidak lama kemudian tanpa lengah lagi, Maria mengucap Syahadah di hadapan imam masjid itu dan beberapa jemaah wanita lain. Maka seperti bayi yang baru dilahirkan ke dunia, bermulalah kehidupannya sebagai seorang mualaf.

Sejak itu juga dia memilih menggunakan nama Mariam sempena nama ibunda Nabi Isa A.S.

Detik pertama beliau mengucap syahadah dikongsi oleh dirinya sendiri menerusi laman Instagram miliknya, mariam_revert.

Kini, beliau gigih belajar tentang selok-belok serta hukum-hakam dalam agama Islam.

Malah, di laman Instagramnya beliau aktif berkongsi rutin hariannya yang terdiri daripada belajar membaca ayat-ayat Al-Quran, menghafal nama-nama Allah dan sebagainya.

Bukan itu sahaja, dia turut rajin berkongsi kata-kata hikmah islamik beserta hadis-hadis nabi.

Meskipun bergelar warga emas, semangat yang kuat untuk mempelajari tentang agama Allah itu membuatkan dirinya terus berusaha mempelajari ilmu Allah satu demi satu tanpa mengenali erti penat lelah.

Sebagai contoh, dalam salah satu video yang dimuat naik, Mariam dilihat gigih menggunakan cermin mata yang telah rosak sewaktu membaca surah Al-Fatihah ditulis dalam tulisan rumi dan menyebut satu per satu ayat dengan penuh sabar.

Semoga Allah beri kebahagiaan buat Mariam

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen mengagumi kesah pengislaman wanita tabah itu. Mereka mendoakan agar dirinya diberikan kebahagiaan selama-lamanya.

Sumber: Instagram mariam_revert














Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*